Tahniah kepada para pelajar yang telah menyertai pertandingan Pena Emasku 2009 tajaan pihak EDN Media. Semua para pelajar kita berjaya merangkul pingat iaitu emas, perak dan gangsa. Para pelajar itu adalah
Nurul Hafiqah (1N)- pingat emas
Putri (3E) & Nurul Athirah (2e)- pingat perak
Tania Batrisyah(1e) – pingat gangsa
Di bawah ini cikgu sertakan karangan Nurul Hafiqah yang mendapat pingat emas. Tahniah sekali lagi!!
KARANGAN NURUL HAFIQAH
Kini hidup aku sekeluarga menderita seperti kata pepatah Melayu sekali air bah, sekali pantai berubah. Dahulu syarikat ayahku dikenali di seluruh Asia. Kini, syarikat ayah ku diisytiharkan muflis.Ini semua gara-gara musuh dalam selimut yang selamanya ini ayahku percayakan sangat.
Syarikat ayahku berurusan dengan perniagan ubah elok rumah. Sikap ayahku yang pemurah, baik hati dan jujur menarik hati ramai pelanggan. Kesemua pelanggan-pelanggannya mempercayai ayahku dan semakin hari perniagaannya semakin maju. Ramai kenalannya ingin menjadi rakan kongsi ayahku. Tetapi ayah hanya percayakan Encik Amir, kawan sekolah lamanya dan dia mula menjadi rakan kongsi ayah yang sah.
Tanpa ayah sedari, Encik Amir telah menyalahgunakan wang syarikat. Semakin hari ramai pelanggan ayah yang mula hilang kepercayaan pada syarikatnya. Encik Amir dengan senang-lenang menggunakan wang syarikat untuk membawa keluarganya pergi bercuti ke Eropah. Ayahku yang tidak berdosa menjadi mangsanya apabila pihak bank mula mencari ayah untuk mendapatkan bayaran. Ayah sangat runsing dan akhirnya dia diserang sakit jantung. Ayahku terlantar di hospital selama sebulan. Ibu dan kami sekeluarga amat bersusah hati. Semakin hari, semakin teruk sakit ayahku. Pada masa itu, ayahku terpaksa serahkan semua tugasan seperti menjaga syarikat, duit dan semuanya pada rakan kongsinya,Encik Amir.
Selama ini, kehidupan aku dan kakakku boleh dikatakan mewah. Ayah memberi kami setiap seorang kad kredit agar mudah untuk kami gunakan buat berbelanja. Apa lagi, kami gunakanlah kad kredit tersebut dengan sewenang-wenangnya seperti ‘si kudung dapat cincin.’Kami sedikit pun tidak mempunyai tabiat menabung dan berjimat cermat. Aku dan kakakku sentiasa keluar dan berbelanja besar tanpa mengira betapa susahnya ayahku bekerja siang dan malam untuk mencari wang bagi kami sekeluarga. Kami langsung tidak tahu erti berdikari.
Tetapi, apabila ayahku jatuh sakit barulah aku dan kakakku tersedar seperti kata perpatah ‘sudah terhantuk baru terngadah.’ Kami tidak dapat gunakan kad kredit lagi kerana pihak bank mahu kami jelaskan hutang yang semakin banyak.
Syarikat ayah juga menghadapi masalah. Surat dari mahkamah sudah di keluarkan. Jika ayahku tidak dapat membayar hutang-hutang bank maka pihak bank akan merampas semua harta ayah dan dia di istiharkan muflis.
Apabila ayah mendapat tahu perkara ini, keadaan ayah semakin tenat. Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, ayah mendapat serangan jantung yang lebih serius. Hingga akhirnya ayahku meninggal dunia. Alangkah kejamnya dunia ini, ibuku yang selama ini orang yang paling tabah juga tidak dapat bertahan. Dia menjadi histeria sejak kepergian ayah. Ibu terlalu bersedih sehingga dia tidak dapat menguruskan dirinya sendiri apalagi untuk mengurus keluarganya. Doktor menasihati kami supaya menghantar ibu ke hospital sakit jiwa. Walau berat hati kami untuk menghantar ibu kesana, namun kami terpaksa juga melakukannya demi untuk kebaikan ibu.
Kini, syarikat ayah, rumah dan kesemua harta ayah telah dirampas oleh pihak bank. Aku dan kakakku dihalau keluar dari rumah. Kami cuba untuk meminta bantuan daripada sanak saudara dan sahabat handai namun tidak seorang pun yang boleh menolong kami. Memang benar kata perpatah’kawan ketawa ramai boleh dicari tetapi kawan menangis seorang diri.’
Sekarang, aku dan kakakku menyewa rumah satu bilik di daerah Bukit Merah. Kami yang dahulunya tidak tahu bekerja kini terpaksa berhenti sekolah dan keluar mencari kerja untuk sesuap nasi. Kami sudah mula belajar untuk berjimat cermat dan menabung untuk hari hadapan. Kami juga harus menjaga ibu yang berada di hospital .Entah bila ibu boleh kembali ke rumah aku pun tidak tahu. Aku hanya berserah kepada Allah agar memberikan kami ketabahan dan kekuatan hati. Mudah-mudahan awan hitam yang menyelubungi kami sekeluarga akan berlalu.
Kini, baru aku sedar betapa pentingnya menanam sikap berjimat. Hidup kami sekeluarga pasti tidak akan jadi sebegini seandainya tabiat menabung menjadi amalan seharian.
BAGAIMANA? SERONOK TAK KAMU MEMBACA KARANGAN INI?
Cuba kamu fikirkan apakah yang menjadi kekuatan pada karangan ini. Saya menunggu komen kamu, ok!